Tuesday, July 14, 2009

UTUSAN ONLINE:Keputusan pilihan raya seawal 8 malam ini


KUALA KRAI 13 Julai - Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dijangka diketahui seawal pukul 8 malam esok, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR tidak menjangka sebarang masalah untuk mengumumkan keputusan awal berdasarkan kawasan DUN itu yang kecil.

''Sasaran kami ialah lebih 85 peratus daripada 12,293 pengundi akan mengundi pada hari berkenaan kerana 90 peratus daripada pengundi adalah petani, penoreh getah dan nelayan. Jadi mereka tidak tertakluk kepada hari bekerja.

''Lebih kurang 1,300 pengundi luar pula, bukan semuanya dari Lembah Klang. Kebanyakan dari sekitar Kelantan dan Pahang, jadi saya harap mereka dapat pulang dan keluar mengundi beramai-ramai esok,'' katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra I di sini hari ini.

Beliau berkata, suasana kempen yang bermula 6 Julai lepas berjalan dengan aman dan tidak ada sebarang insiden buruk yang boleh menjejaskan perjalanan proses pilihan raya kecil dilapor berlaku.

''Kami harap sehingga calon yang menang diumum, tidak akan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Melalui pemantauan yang dibuat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya pula didapati parti yang bertanding mematuhi undang-undang dari segi pemasangan bahan kempen,'' katanya.

Bagi bahan kempen yang menyalahi peraturan, tindakan menurunkan bahan berkenaan telah dibuat dan pasukan ini mendapat kerjasama daripada wakil-wakil parti, katanya.

Abdul Aziz berkata, maklumatmaklumat pengundi seperti nama pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor siri dalam daftar pemilih boleh didapati di 25 barung SPR yang dibuka dalam jarak 50 meter di luar pusat mengundi.

''Sejumlah 72 kerusi roda iaitu masing-masing lapan kerusi roda bagi setiap sembilan pusat mengundi akan disediakan SPR untuk kemudahan pengundi-pengundi uzur atau kurang upaya,'' katanya.

Pusat pengundian juga disediakan dengan Zon Umum Menurunkan Pengundi bagi kenderaan yang membawa pengundi ke tempat mengundi, katanya.

''Tiada sebarang bendera atau lambang parti atau apa-apa benda yang menjurus kepada bentuk kempen dibenar dilekatkan pada kenderaan itu melainkan pelekat kenderaan khas yang telah diedarkan kepada parti bertanding,'' katanya.

Abdul Aziz berkata, sebarang aduan berkaitan perjalanan pilihan raya kecil itu termasuk yang berkaitan dengan aktiviti kempen boleh dibuat ke Bilik Gerakan SPR di talian 09-7471966 atau 09-7471998.

Beliau turut meminta kerjasama semua parti politik dan calon yang bertanding supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta arahan polis bagi menjamin kelancaran pilihan raya kecil itu.

''Tempoh berkempen yang bermula pada hari penamaan calon, 6 Julai lepas akan berakhir pukul 12 tengah malam ini, selepas itu tidak dibenarkan lagi sebarang aktiviti berkempen, organisasi media juga diminta mematuhi arahan larangan berkempen pada hari mengundi,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

ADA KOMEN?